~~PlaYlisT~~

Followers

Thursday, May 29, 2014

Allah sayang kita...

Pada masa kita senang apa yang telah kita lakukan? Ada kita mengucapkan rasa syukur?sungguh setiap dari kita mengetahui diri kita, tahap iman kita, kemampuan kita. Disebabkan itulah kita sentiasa takut tergelincir ke lembah dosa yang hina.

Pada masa kita takut, apa perkara pertama yang kita ingat? Apa pertolongan yang kita harapkan? Sungguh, Allah tidak pernah melupakan kita, sebaliknya kitalah yang sombong yang tidak mahu mendekatkan diri kepada ALLAH pencipta yang maha kaya.

Masalah? Banyak masalah? pening kepala memikirkan hal keduniaan? sungguh ayat beginilah yang terkeluar dari mulut kita yang tidak disangka-sangka menyebabkan kita mengeluh dengan ujian kecil yang ALLAH sediakan pahala besar di SANA. Sungguh kita manusia pelupa, sebelum ruh ditiup kita telah berjanji melakukan ibadah yakni hidup dan mati hanyalah kerana ALLAH taala. Janji hanya tinggal janji bagi setengah manusia.

Bagi mereka yang beragama islam sekarang ini, dek kerana iman yang lemah sering terikut dengan fahaman dan trend masa kini yang sebenarnya telah jauh terpesong dengan lunas islam, bahkan jika tidak bersangkutan dengan aqidah ada juga yang menampakkan hilangnya adab islam di mata orang bukan islam.

Sungguh banyak alasan manusia akan dikaitkan dengan perkataan LUPA, disebabkan itulah kita selalu sangat diingatkan melalui medium penyampaian tazkirah secara langsung ataupun tidak langsung. Ada dari kita ditegur secara hemah melalui teguran, melalui sindiran yang mana dirasakan perlu. Teguran ini semuanya didatangkan kepada kita dengan kehendakNYA untuk memberi peringatan kepada kita. Teguran yang tidak langsung? ujian kemiskinan, kematian, kesusahan boleh jadi teguran yang didatangkan kepada manusia untuk menegur kelakuan kita yang kadangkala melampaui batas.

Kenapa entri kali ini bertajuk "ALLAH sayang kita"??, kerana kita hambanya, ya.. itulah sebabnya kerana kita hambanya yang diciptakan mempunyai tujuan yang jelas. Pengabdian kita kepada ALLAH merupakan suatu bentuk kesyukuran di atas penghidupan yang diberikan. Kesyukuran ini akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal bahkan lebih!! ALLAH, sentiasa menyediakan yang terbaik buat hambanya, sentiasa menunggu doa pengampunan hambanya, kerana rahmat ALLAH itu luas yang tidak terjangkau pemikiran manusia.

Kadangkala kita mengambil mudah berkaitan rahmat ALLAH, sering menghukum manusia dengan kebijaksanaan kata-kata kita. Bahkan sering menilai manusia dengan keburukan masa lalu bukan dengan kebaikan masa sekarang yang dilakukan. Sungguh kita menjadi "masyarakat' yang rugi!!, masyarakat yang mana tidak jauh bezanya dengan zaman jahiliah, bahkan lebih teruk lagi kerana kita telah mendapat ilmu manakala masyarakat zaman jahiliah memang kebanyakannya jahil. 

ALLAH, sayang kita.. ya ALLAH sayang kita..
yakinlah, dengan setiap keyakinan kita dan dengan setiap penuh pengharapan kita kepadanya serta sangkaan baik kita kepada ALLAH,  insyaALLAH setiap pengakhiran suatu masalah dan ujian adalah BAHAGIA yang kita akan dapat. Begitulah tekunnya ulama' hidup, mereka senang dengan ujian, kerana dengan ujian itulah mereka menyangka ALLAH sayangkan mereka kerana ALLAH akan datangkan suatu ganjaran besar yang tiada tandingannya dengan isi alam ini.

Belajarlah mengenali diri, belajarlah mengawal nafsu. Dengan mengenali diri, insyaALLAH kita akan mengenali pencipta. sifat hebat pencipta, namun janganlah berfikir dengan melampaui pemikiran manusia dengan mengandaikan segala zat ALLAH kerana setiap yang berkaitan dengan zat ALLAH adalah di luar jangkauan pemikiran manusia yang normal.

ALLAH, sayang kita. selidiklah doa kita yang kita bukukan dalam diari kehidupan lalu. Hidup kita, jika dikenang penuh dengan kebahagian kerana kebanyakan doa telah dimakbulkan. Kadangkala, ALLAH tidak makbulkan doa kita kerana ALLAH mahu memberikan yang lebih baik dan mengkehendaki hambanya terus bersabar dan terus berdoa. Rahmat ALLAH itu sangat luas kan?

ALLAH, kami berdoa agar kami terus ditetapkan iman dan tetapkan islam sebelum kami mati. Lembutkan kalam lidah kami disaat sakaratul maut untuk kami mengucapkan LaIlaHaillALLAH. Kami memohon rahmatMU didunia dan juga di akhirat. Semoga entri kali ini memotivasikan penulis untuk terus tabah dalam menghadapi dunia yang terus mencabar ini.. AMIN.